Tuesday, July 1, 2008

AWEK CUN (dia), GEISHA & SUSHI KING

(Catatan Ringkas Jepun Untuk Dia)

Beberapa hari lalu, sekembali dari Perak dan dalam kesibukan menyempurnakan dokumentari aku yang pertama, Epul yang merupakan partner aku untuk dokumentari ini minta supaya penggambaran bercuti dua hari. Alasannya, dia nak ambik tawaran jadi cameraman video korporat dari Nazrul. “Mana boleh Epul, sebab nanti siapa nak jadi jurukamera aku?” itu yang aku nak cakap pada dia. Tapi belum sempat aku nak cakap, dia sambung lagi “shooting ni kat Melaka”. Aku tak jadi nak cakap apa yang aku nak cakap. Tapi aku cakap “Okey, tapi dengan syarat aku nak ikut!”.

Yes!!! Ini alasan terbaik aku untuk ke Melaka dan alasan terbaik juga kau nak pergi jumpa dia. Hahaha!!! (dalam hati terfikir jugak betapa tak profesionalnya aku, tapi apa aku peduli..)

Dan sepanjang jalan ke Melaka pada awal subuh keesokan harinya, aku berdua dalam kereta dengan Epul. Epul beberapa kali sempat lena. Dan ketika lenanya Epul, kepala aku serabut pikir pasal macam-macam.

Sebaik tiba di Melaka, aku hantar Epul ke MITC untuk shooting dan aku seterusnya ke bandar Melaka. Tepat jam 9 pagi. Walaupun aku tak tahu arah jalan, papan tanda amat membantu. Terima kasih MBMB atas kejayaan menyempurnakan tanggungjawab itu.

Perkara pertama, cari tempat membeli tiket tempat letak kereta. Selepas itu, aku mahu teruskan dengan apa yang telah aku rancang iaitu melawat setiap muzium dan galeri yang ada di kota Melaka ini. Kalau tak silap, ada hampir 30 buah kesemuanya. Sejak dari dulu, memang aku berhasrat melawat semua itu. Ya, aku setidaknya kagum ada sebuah negeri di Malaysia yang amat mengambil berat tentang soal warisan. Ya,meskipun syarikat aku pernah jadi mangsa penipuan urusniaga perniagaan dengan salah seorang pegawai tertinggi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) beberapa tahun lalu, namun aku rasa tidak perlulah aku terlalu emosi untuk campurkan urusan peribadi itu dengan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan ini.

Namun, malang sekali. Kekaguman aku itu hanya sekejap. Sebaik membayar tiket RM3 dan memasuki kompleks Muzium Samudera, kekaguman itu bertukar menjadi sumpah seranah. “Ini ke yang dipanggil muzium???” Jika ini yang kita panggil sebagai muzium, gedung peradaban warisan bangsa kita dan dengan bangga kita jaja kepada jutaan pelancong asing yang berkunjung ke negara kita, alangkah malunya aku menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia. Aku tak pernah mengharap kita setanding dengan barisan galeri unggul di Perancis kerana aku tahu bagaimana tradisi muzium di sini. Namun, janganlah sampai muzium kita menjadi seperti sebuah lubang gelap yang hanya menambah tahap butanya orang kita terhadap warisan dan pengetahuan. Apresiasi orang kita terhadap muzium terlalu rendah jika nak dibandingkan dengan negara jiran Singapura dan aku rasa inilah salah satu penyebabnya. Muzium kita `kosong`! Artifaknya banyak, tapi kosong intipati dan pengertiannya. Apa gunanya jika bangunan muzium kita indah dan hebat seperti KLCC tapi isinya kosong seperti mengajak kita bersama katak tinggal di bawah tempurung. Jangan jadikan muzium hanya platform untuk menjadi simbol keprihatinan pemerintah kononnya mereka amat mengambil berat soal itu tetapi hakikatnya hanya propaganda politik semata-mata. Kalau itu yang berlaku, itu propaganda bodoh yang aku tak boleh terima! Kita takkan mampu jadi negara maju jika mentality tampuk tertinggi dan perkhidmatan awam kita masih di tahap negara membangun. Aku tahu, orang politik kena pandai berpolitik, harus pandai `main wayang` berpropaganda. Aku tahu dan menerima situasi itu seadanya sebab aku sendiri kadangkala ber`politik`. Namun, biarlah secara bijak. Menang dua-dua. Maruah bangsa terpelihara, kotak undi pun menang majoriti kepada kita. Kan itu lebih sempurna namanya.

Muzium harus menjadi dunia baru bagi setiap pengunjung. Aku mahu,apabila kau masuk ke sesebuah muzium, aku akan kagum dan menerima pelbagai maklumat, perasaan, pengertian dan pengajaran yang akan menjadi aku manusia lebih berguna dan lebih baik.Tidak kiralah lebih berpengetahuan, lebih patriotik, lebih menghargai, lebih kritis, lebih kritikal atau lebih kreatif. Setidaknya mampu memberi inspirasi untuk menggerakkan sesuatu. Tapi …. (tolong, aku taknak mengutuk lagi).

Cukup! Aku taknak teruskan niat aku nak melawat muzium-muzium lain. Aku takut nanti dosa aku bertambah menyumpah seranah negara dan bangsa sendiri.

Jadi, selepas itu, aku buat keputusan hanya untuk jalan-jalan sepanjang Sungai Melaka sambil merakam beberapa visual yang aku kira menarik dengan kamera video. Ketika itu,aku kembali memikir tentang si dia. Aku telefon beberapa kali tidak diangkat. Sah,mesti masih tidur!

Aku tiba-tiba terfikir yang dia suka dengan perkataan Geisha. Aku tak tahu kenapa. Mungkin kerana pengaruh kesukaannya kepada fesyen remaja Jepun yang telah menular menjadi budaya popular seluruh dunia hari ini (dengan potongan rambut dan wajah yang mirip Jepun lantaran dia ada darah campuran Cina). Geisha menurut pemahaman aku adalah pelayan sosial dalam sistem masyarakat Jepun. Ya, mereka adalah pelayan terlatih yang tidak boleh meluahkan sebarang bentuk ekpsresi terhadap perasaan mereka. Aku tak suka dengan pernyataan itu kerana bagi aku, setiap manusia punya perasaan dan berhak untuk meluahkannya dalam apa sekali bentukpun asalkan tidak menentang hukum agama dan budaya.

Dia bekerja sementara di Sushi King. Alasannya sebab dia suka makan Sushi. Sushi King, satu jenama dari Jepun yang kini diterima sebagai salah satu jenama yang sebati untuk masyarakat dunia. Ya, Jepun sememangnya terkenal dalam usaha memperlebarkan pembudayaan peradabannya ke seluruh dunia. Dan paling dekat dengan aku, beberapa penggiat filem yang aku kenal pernah mengikuti program penempatan selama enam bulan di Jepun dalam usaha mempelajari, mengetahui, memahami dan menyebarkan budaya Jepun ke negara ini. Aku rasa,mungkin pendekatan yang dikelolakan oleh Japan Foundation wajar dicontohi Malaysia. (Tak perlu pun berbelanja RM12juta untuk Titian Budaya ke Indonesia yang seolah hanya untuk mewajarkan pegawai kementerian bercuti ke sana).

Seni mampu membawa budaya ke sudut pandang yang lebih luas dan tidak pernah terfikir oleh pemikiran konvensional. Filem pasti tidak berkecuali. Mungkin FINAS boleh belajar daripada NHK tentang hal itu meskipun FINAS seharusnya lebih arif tentang hal itu. Dan jika mengikut pengertian yang diberikan oleh Prof Dr Wan Zawawi ketika aku berjumpa dia beberapa minggu yang lalu, aku dapat simpulkan bahawa Jepun telah berjaya mengekalkan budaya tradisinya dan menjadikannya sebagai budaya popular di seluruh dunia. Tak perlupun memasukan elemen kontemporari ataupun universal seperti mana yang sering dilakukan Malaysia untuk membawa produk seni ke luar negara (orang Malaysia memang suka berpesta). Dengan pendekatan yang sesuai, tak mustahil suatu hari nanti kita boleh menikmati budu asli sambil menonton persembahan Mak Yong di sebuah kafe di kaki lima bandar Osaka.

Tiba-tiba dia SMS aku bertanya aku di mana. Katanya dia tiada kereta nak datang jumpa aku sekarang. Mungkin sekejap lagi katanya. Dia kata nak ponteng kerja hari ini (aku kira itu bukan budaya masyarakat Jepun mahupun Sushi King. Hehe…). Dan aku, masih terfikir mengenai dia, geisha,Sushi King dan Jepun.

Hubungan Malaysia dan Jepun boleh dikatakan mempunyai hubung kait yang rapat. Bukan hanya soal penjajahan dalam Perang Dunia Kedua tapi lebih dari itu. Mungkin kerana pengaruh Jepun sebagai sebuah negara maju yang letakknya di Asia, maka kita merasakan keakraban itu tidak kira dari segi geografi mahupun budayanya. Aku tak pasti berapa jutaan nyawa di Malaysia yang dibesarkan hasil duit gaji ibu bapa mereka yang bekerja di kilang milik Jepun. Ya, amat akrab. Pembentukan peribadi aku sendiri sedikit sebanyak menerima pengaruh Jepun ketika kanak-kanak dahulu. Selain lagu-lagu rakyat, Opah aku yang membesarkan aku sering mendodoikan aku dengan lagu Jepun yang dipelajarinya ketika remaja. Ketika itu, iaitu ketika zaman pemerintahan Jepun, katanya setiap daripada penduduk Tanah Melayu wajib menyanyikan lagu kebangsaan Jepun dan belajar bahasa Jepun di sekolah (teringat pula pada result exam bahasa Jepun aku semester lepas yang nyaris gagal. Mampus la aku semester ni…)

Aku sempat menyelak kembali beberapa buah buku berkaitan politik antarabangsa dan hubungan diplomatik Asia Pasifik yang berada dalam rak buku aku (aku memang suka membeli buku namun jarang membacanya). Menyusuri perjalanan Kepuluan Ryukyu itu sepanjang hampir seabadnya lalu membuatkan aku yakin Jepun sebuah negara yang sangat pintar. Namun, pintar itu sendiri punya konotasi yang pelbagai, dan mungkin baik atau sebaliknya. Melaka (tempat aku berdiri ketika itu) dan Jepun punyai metafora yang besar dalam pengalaman penjajahan negara kita. Melaka menjadi lokasi perintis negara kita dijajah hampir lima abad yang lalu. Dan kehadiran Jepun ke Tanah Melayu adalah perintis kepada jalan kemerdekaan negara.

Tun Dr Mathathir sepanjang 22 tahun pemerintahannya pernah mengumumkan Dasar Pandang KeTimur. Sejujurnya, aku tidak mengetahui apa-apa mengenai dasar ini selain daripada keinginan Dr Mahathir agar rakyat Malaysia mampu mencontohi budaya dan etika masyarakat Jepun dalam bekerja. Adakah ia sebuah dasar bertulis yang cukup mendalam secara teknikalnya atau sekadar suatu retorik kepentingan membetulkan budaya masyarakat kita. Entahlah… Beberapa bulan lalu, aku ada membaca sebuah buku koleksi teks ucapan Tun Dr Mahathir yang antaranya terkandung teks ucapan beliau sempena perhimpunan belia Asia di Jepun pada tahun 1999. Beliau menegaskan, budaya dan etika kerja bukanlah hanya warisan keturunan tetapi ia mampu dipelajari dan beliau yakin rakyat Malaysia mampu melakukannya. Yang pasti,aku sendiri kurang tahu bagaimana budaya masyarakat Jepun itu sendiri selain hanya mampu menggambarkannya melalui pembacaan (mungkin untuk lebih memahamainya,aku perlu kahwin dengan gadis Jepun, atau gadis yang mempunyai iras-iras wajah Jepun. Hehehe..)

Aku melihat cubaan Jepun mengusai Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua sebagai usaha dalam pembentukan Lingkaran Asia Raya amat memainkan peranan penting dalam proses mencapai kemerdekaan negara kita. Tanpa Jepun, selain pejuang-pejuang lain yang berhaluan kiri serta kedegilan sesetengah pemimpin dalam UMNO/ Perikatan yang cuba menentang arus, mungkin kita hari ini masih menjadi sebuah negara jajahan British.

Sejak sebelum Perang Dunia Kedua, Jepun sememangnya sebuah negara kuasa besar dalam peta dunia. Dari itu, dengan slogan `Asia Untuk Asia` dan `Lingkungan Kemakmuran Bersama Asia Timur`, Jepun berjaya mempengaruhi beberapa pemimpin Asia yang lain untuk bersama. Tindakannya menyerang Pearl Harbour sememangnya dilihat sebagai sebuah semangat yang cukup berani. Namun, tragedi ledakan atom di Hiroshima memusnahkan segalanya. (Baru sekejap tadi National Geography menayangkan detik-detik pengumuman menyerah kalah Jepun kepada Amerika Syarikat oleh Maharaja Jepun).

Dalam pada sering diperdengarkan oleh laungan ahli politik tentang kebangkitan Jepun dalam masa yang amat singkat selepas tragedi Hiroshima hingga menjadi negara maju pada hari ini, aku sering menerima pernyataan itu seadanya secara permukaan tanpa melihat secara teliti dan mendalam, bagaimana usaha pembangunan Jepun tersebut dilakukan(teringat lagu M. Nasir `Bangkit Dari Abu` yang mengisahkan legenda Timur Tengah mengenai burung Phoenix yang hidup semula daripada kematiannya dan menjadi lebih istimewa).

Kembali ke Melaka, kota kehebatan sejarah negara kita. Petang itu, seperti dirancang, aku jumpa dia. Tengok wayang, jalan-jalan, naik menara Taming Sari yang tinggi (tapi tak setinggi harapan aku. Hehehe..) Ya, perjumpaan aku dengan dia di Melaka membawa aku meneliti semula usaha baik pulih negara matahari terbit itu setelah ledakan atom Hiroshima. Selepas kekalahan dalam Perang Dunia Kedua, Jepun berasaskan Dotrin Yoshida telah melakukan rancangan pembangunan baru dengan menyerahkan segala kuasa berkaitan keselamatan dan pertahanan negaranya kepada Amerika Syarikat.

Oleh itu, tanpa perbelanjaan besar terhadap segala macam keperluan pertahanan negara, dan kegerunan negara lain kepada Jepun dek kerana dilindungi kuasa besar Amerika Syarikat, Jepun memberikan fokus kepada pembangunan ekonominya. (teringat pula pada kisah panas di Parlimen mengenai pembelian kapal selam, pesawat pejuang Sukhoi dan helikopter pengganti Nuri oleh Kementerian Pertahanan yang dikatakan tidak telus).

Sejak dari itu, Jepun sentiasa mengambil kesempatan dalam sebarang situasi seluruh dunia bagi memastikan usaha pembangunan ekonominya tercapai. Perang Korea dan Perang Vietnam turut memberi kelebihan kepada Jepun yang memiliki kemampuan teknologi dengan membekalkan segala keperluan bagi peperangan tersebut. Dengan itu, kekuatan ekonominya semakin kukuh. Ya, Jepun sebuah negara yang sentiasa mengambil peluang. Dan aku terfikir wajarkah kejujuran Jepun dalam setiap tindakannya dipertikai dan diragui. Meskipun Jepun muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar selepas Amerika Syarikat pada 1990-an serta menjadi ahli pertubuhan negara maju G8, namun ia dilihat gagalnya membantu sebagai pembela ekonomi negara-negara Asia Pasifik dalam APEC meskipun itu aku lihat sebagai sumbangan terbesar yang boleh dan sepatutnya dimainkan oleh Jepun dalam pertubuhan itu. Jepun mengambil pendekatan membantu ekonomi negara Asia yang lain melalui bantuan kepada kerajaan-kerajaan bermasalah serta pelaburan asing dalam negara-negara tersebut yang seterusnya membantu pengukuhan penguasaan Jepun ke atas negara tersebut sedangkan Jepun sendiri mengamalkan dasar pintu tertutup kepada negara asing. Entahlah… Aku sendiri tak pasti kerana aku sendiri kurang arif tentang kira-kira ekonomi dan politik ini.

Jepun juga sentiasa mengelak dari sebarang perbalahan dan konflik politik antarabangsa. Jepun sebagai sebuah negara maju sepertimana yang dinyatakan oleh Unesco tidak pernah menjadi ahli Majlis Keselamatan PBB. Jepun juga menghalang sebarang penghantaran tenteranya keluar negara bagi mengelak campur tangan dalam politik negara asing serta mengelak konflik. Mereka mahu kekal dalam status selamat.

Setelah kekuatan ekonomi mereka kukuh dan menjadi sebuah negara yang gah, Jepun dibawah pimpinan Hashimoto sudah berani menidakkan peranan Amerika Syarikat dalam hal keselamatan dan pertahanan negara Jepun. Pergeseran dengan Amerika Syarikat pada 1990-an dapat dilihat apabila Jepun sudah berani mengatakan tidak kepada Amerika Syarikat. Jepun juga mengusulkan permohonan untuk menjadi ahli Majlis Keselamatan namun ditolak. Aku tak pasti sebabnya. Tapi mungkin ada kaitan dengan prinsip yang diasaskan Dotrin Yoshida lebih setengah abadnya yang lalu.

Setelah memiliki keutuhan ekonomi hasul bantuan Amerika Syarikat, Jepun dilihat mahu keluar daripada hanya menjadi kuasa ekonomi dunia dan melangkah gagah menjadi menjadi kuasa politik dan kuasa ketenteraan dunia pula. Strategi Jepun dalam memperkukuhkan negaranya secara berperingkat memperlihat hasil yang baik meskipun ia seolah berpaling daripada etika atau moral ketelusan dalam hubungannya dengan negara asing. Sekali lagi aku ulangi perkataan yang sama, entahlah… Politik dan ekonomi dunia menjadi semakin complicated untuk seorang peminat filem seperti aku memahaminya.

Sebagai seorang peminat filem, aku melihat Jepun adalah sebuah industri filem yang paling berpotensi dari aspek pengurusan industrinya. Jika negara blok China yang lain seperti China, Korea dan Hong Kong hebat dengan pelbagai filem yang menembusi pasaran antarabangsa, namun bagi aku, itu hanyalah jika dinilai kepada produk filem itu sendiri. Aku tak yakin negara-negara itu juga mempunyai industri yang baik dan aku hanya menganggap ia hanya sebuah filem yang dibintangi pelakon mereka tetapi dibiayai dan dikendali oleh studio gergasi barat. Namun berbeza dengan Jepun yang mempunyai sistem industri itu sendiri. Jika aku seorang pelabur dalm bidang perfileman, dalam pasaran Asia, aku akan memilih Jepun kerana kemampanan dan keanjalan industrinya selain daripada benua Afrika dan utara Eropah yang mempunyai pasaran dan keterbukaan yang agak baik. Sepertimana yang telah aku simpulkan dalam sebuah tugasan ilmiah aku dalam semester lepas, status sebuah industri bukanlah hanya boleh dinilai melalui nilai wang urusniaganya tetapi haruslah mempunyai tatacara, gerak kerja, peraturan, panduan, polisi serta dasar yang jelas, terarah, bersepadu serta saling lengkap melengkapi.

Perjalanan ke Melaka yang tanpa diduga, bukan sahaja menemukan aku dengan dia (walaupun itu tujuan utama dan PALING utama. hehehe), tetapi juga membawa aku lebih memahami tetang sebuah negara yang jauh di timur itu. Meskipun tidak terlalu mendalam, setidaknya aku menemui sesuatu yang baru, menjadikan aku lebih kritis, membantu aku lebih kritikal dan mempertingkat pengetahuan aku tentang peradaban sebuah bangsa. Itu aku kira lebih bermakna daripada hanya memasuki sebuah lubang gelap yang digelar sebagai muzium di bandar Melaka.


p/s: Awek cun, jangan lupa bahawa ilmu itu penentu siapa kita! Jangan putus asa! (Dengan ilmulah rasa cinta membantu kita lebih memahami dunia dan makhluk di dalamnya…)

No comments: