Tuesday, July 8, 2008

LEGENDA CINTA NEGARA TIDAK BERNAMA

(Kisah Mitos Legenda Abad Ke-21)

Aku sebenarnya tak berminat sangat pada kisah-kisah mitos/ legenda/ sejarah dan sebagainya.. Aku akui keperluannya sebuah kisah sebegini dalam masyarakat sekarang menoleh kembali masa lampau dan mencermin diri melaluinya (meskipun ia hanya sebuah legenda mitos yang tidak sahih kewujudan dan kebenarannya). Tapi dah aku tak berapa minat nak buat macam mana (minat tu ada la tapi tak kuat). Tapi di waktu jiwa kacau ni, apa salah buat sesuatu yang aku tak minat kan.. Sebab waktu ni, buat benda yang aku minat atau pun tak minat, aku tak rasa apa pun... Aku rasa sama je: kosong.

Tapi sekarang aku nak ceritakan sebuah kisah mitos legenda sejarah berkaitan cinta yang tidak agung tapi cukup untuk memberi kesan yang sangat mendalam kepada setiap manusia. (Bak kata awek cun @ dia, tiada cinta atau persahabatan yang mampu merentasi dan melalui kehidupan kita tanpa meninggalkan kesan atau bekas dalam perasaan). Ini bukan kisah cinta 3 segi, bukan juga cinta terlarang, tapi… (sampai sekarang aku belum menemui terma yang sesuai untuk kisah cinta ni)

Sebuah kisah yang berlaku pada tahun 2098. Ketika itu, gerakan Revolusi Melayu Jagat baru sahaja berakhir yang menyaksikan bangsa Melayu menjadi bangsa paling dominan di dunia dengan jumlah penduduk hamir 64% daripada jumlah penduduk dunia dan ada di hampir 519 buah negara (ketika ini dunia mempunyai 715 buah negara semunya). Ketika itu, terdapat beberapa pecahan bangsa Melayu dari sudut agamanya. Antaranya Melayu Islam, Melayu Kristian, Melayu Taoisme, Melayu Saintology beberapa agama baru lain yang baru diasaskan (mungkin petanda akhir zaman!).

Dan kejadian ini berlaku di sebuah negara yang diberi nama Tidak Bernama. Negara ini juga tidak bersempadan. Tanpa penguatkuasaan undang-undang imegresen dan kastam, ia negara bebas untuk semua penghuni dunia untuk datang, melawat atau menetap di negaranya dengan syarat melakukan sekurang-kurangnya satu kerja amal sepanjang berada di Tidak Bernama. Selagi ia bernama manusia, maka sesuka hatilah dia boleh keluar masuk ke negara ini. Negara ini dihuni 26 juta penduduk tetap/ rakyat (negara ini tiada taraf warganegara) yang majoritinya beragama Islam. Identiti penduduk tetap ini boleh dikesan melalui pengesanan cahaya ultra dalm cip yang diletakkan ke dalam jam tangan mereka.

Seorang pemimpin bernama ar-Risalah yang dipilih rakyatnya untuk memerintah negara sejak empat dekad yang lalu. Setelah sekian lama pemerintah negara terdahulu memberi tumpuan kepada pertanian sebagai asas sumber ekonomi negara, ar-Risalah mengekalkan perkara tersebut dengan menambah satu dasar baru ke dalam sistem ekonominya bagi melengkapi sistem sedia ada. Dasar itu dikenali sebagai Dasar Roh Jagat yang memberikan penumpuan kepada pembangunan ekonomi berasaskan kasih sayang yang mana setiap kegiatan ekonomi haruslah mengutamakan ketelusan dan kejujuran. Dengan 99 langkah proaktif yang digariskan melalui dasar ini, kadar rasuah telah dapat dikurangkan hingga ke paras 1%, bilangan penjenayah dikurangkan pada kadar 90%, dan KDNK negara mencatat kenaikan 9050% daripada pemerintahan sebelumnya empat puluh tahun lalu. Anggota polis dan tentera seramai 750,000 orang telah diarahkan untuk menjadi pengasuh warga tua di seluruh negara melalui khidmat dari rumah ke rumah.

Sebaik sahaja menaiki tampuk pemerintahan, ar-Risalah telah mengumumkan pembekuan serta merta segala belanjawan untuk pembelian peralatan ketenteraan kerana beliau menganggap kelengkapan yang sedia ada sudah mencukupi. Dan segala peruntukan yang ada diagihkan kepada pendidikan, sumbangan untuk setiap majlis perkahwinan, menjaga kebajikan warga tua, dan penganjuran majlis-majlis yang menganjurkan kepada pengukuhan rasa kasih sesama rakyat. Dengan kadar pemilikan jet peribadi pada kadar nisbah 1 : 20 orang penduduk tetap, ar-Risalah menghadkan pesawat peribadi hanya boleh digunakan dengan kelulusan rasmi daripada kabinet dengan garis panduan tertentu. Tanpa kelulusan ini, rakyat dibenarkan menaiki kereta janaan air suling ataupun basikal.

Kabinet Tidak Bernama dengan ahli jemaah menteri seramai 100 orang juga tidak membenarkan rakyat-rakyat Tidak Bernama melanjutkan pengajian melebihi daripada peringkat sarjana muda. Mereka dihalang daripada menyambung pengajian ke peringkat sarjana, doktor falsafah mahupun sarjana tua (yang diperkenal dunia lima puluh tahun lalu) bagi mengelak lahirnya golongan cerdik pandai yang terlebih pandai dan akhirnya merosakkan diri (yang mengkaji falsafah keunggulan seni khat tapi lupa kepada alif ba ta).

Ar-Risalah juga mendapat pelbagai pengiktirafan dunia daripada pelbagai negara dan menjadi penasihat kepada beberapa negara maju mengenai pelan pembangunan kemanusiaan memandangkan situasi keganasan semakin melampau-lampau di seluruh dunia ketika itu. Antara negara-negara maju yang mendapat khidmat ar-Risalah adalah Ryukyu, Nigeria, Bostwana, Morocco, Chile dan Silent (negara yang terbentuk hasil perpecahan Amerika Syarikat kepada 14 buah negara pada tahun 2057).

Bagaimanapun, berbanding penduduk dunia di negara-negara lain, penduduk negara Tidak Bernama ini sangat istimewa. Mereka tidak pernah mementingkan kebendaan mahupun kekayaan. Dasar Roh Jagat yang diperkenalkan ar-Risalah sejak empat puluh tahun lalu mengubah keseluruhan sistem kehidupan penduduk negara ini untuk begitu menganggungkan kasih sayang.

(Semua di atas hanya pengenalan. Sekarang aku nak ceritakan mengenai kisah yang menjadi intipati utama cerita ini)

Dengan rentetan kisah negara yang panjang, tersebutlah kisah mengenai tiga orang anak muda di sebuah tempat yang dinamakan Gedung. Gedung adalah sebuah tempat yang menempatkan para penduduk Tidak Bernama yang berusia 18 hingga 25 tahun sementara menanti masa untuk dilepaskan hidup dalam masyarakat. Di Gedung, mereka diajar untuk memahami setiap petanda yang berlaku di sekeliling mereka.

Tiga anak muda ini, dua lelaki, seorang gadis seperti anak muda lainnya yang sedang berkira-kira memahami setiap petanda. Masing-masing mereka bernama Tuah, Mahmud dan Ledang. Mereka dibesarkan bersama. Dan diketahui bahawa Mahmud sememangnya menaruh hati pada Ledang. Mereka melalui segalanya bersama. Suka duka kehidupan di Gedung yang kadangkala mencabar dan kadangkala amat membosankan.

Sampai di suatu ketika, ketika Mahmud beriya-iya mahu mendapatkan Ledang menjadi pasangan sepanjang usianya, tiba-tiba….

(Sori, aku tak tahu nak habiskan macam mana… Sori sangat!!!) =(



p/s : Aku yang hidup pada 2008 tidak mampu untuk mentafsir apa-apa hikmahnya di sebalik kisah ini. Cuma aku harap anak cucu kita nanti yang hidup pada abad ke-22 mampu melakukannya kerana setiap kejadian yang diatur Allah itu memang memerlukan masa untuk difahami dan disyukuri.

No comments: