Sunday, January 6, 2008

SUZANA MURNI

" What can you say about 25 year old girl who died?
That she beautiful? And brilliant.
That she love Mozart & Bach. And Beatles. And me..."

–Erich Segal, Love Story

Petikan dari novel best seller Love Story itu menjadi ayat pembuka bagi satu artikel keratan akhbar yang aku simpan sejak lebih lima tahun lepas.. Satu artikel yang banyak mengubah persepsi aku tentang hidup... Dan memberi kekuatan kepada aku untuk terus hidup... Walau apa masalah datang...

Tajuk artikel itu ialah "Belajar Tegar Dari Suzana Murni". Artikel yang aku ambil dari akhbar harian terkenal Indonesia, Kompas bertarikh 1 Disember 2002. (terima kasih sahabat aku, Abg Ronny dari Jakarta yang mengirimkan akhbar tersebut)

Suzana Murni, seorang gadis cantik, cergas, cerdas, dan punya passion yang besar dalam bidang intelek serta seni. Dia peminat muzik yg baik, meminati Duran Duran, Quenn, Burt Bucharah, Gending Jawa sampailah ke muzik padang pasir... Dia membaca segala jenis buku. Baca, baca dan baca.... dari buku kanak2, John Steinbeck, Ken Kersey hinggalah kepada Chairil Anwar.... Impiannya ingin jadi jurnalis di National Geographic...

Namun, seperti kata penulis artikel tersebut, walaupun impiannya itu tidak kesampaian., sebenarnya, pencapaian beliau dalam hidup telah melampaui semua itu...

Sering kita dengar orang yang pergi pada usia muda, dia dikasihi Allah... Begitulah Suzana.Tanggal 6 Julai 2002, Suzana Murni kembali kepada penciptanya pada usia 30 tahun...

Sepanjang 30 tahun tersebut, khususnya 7 tahun terakhir, dia membuktikan bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya. Pada usia 23 tahun, ketika dia bersama rakan2 mahu mengecap nikmat hidup, doktor mengesahkan dia HIV positif.

Tersentak!!! Namun dia tidak kalah. Dia tidak kalah pada keadaan. Bermula dari itu, dari seorang gadis biasa, dia berubah menjadi wira!

Tanpa segan silu, dia menjadi rakyat Indonesia pertama dengan penuh berani membuat kenyataan dihadapan masyarakat "Saya HIV positif". Dia mula menggerakkan diri menentang habis-habisan diskriminasi terhadap pengidap HIV dalam masyarakat. Bukan sahaja di Indonesia malah di seluruh dunia!

Dia kesal bila hak pesakit sepertinya sebagai manusia cuba dinafikan oleh sistem pentadbiran dan masyarakat dengan apa yang dia panggil sebagai "merenggut hak asasi secara sistematis". Bagaimana politik dan masyarakat membuang mereka hingga sampai kepada satu tahap, seorang pendakwah agama mencadangkan agar mereka dibunuh sahaja!

Ucapan-ucapan Suzana dalam pelbagai majlis sentiasa mendapat perhatian. Meski kadangkala ucapannya berbaur personal dan penuh emosi, namun lontaran suara kemanusiannya akan tetap bergema walau disekat dan dihalang! Perjuangannya membawa dia ke serata pelusuk dunia dan membina rangkaian kenalan yang besar. Dia berkenalan dengan siapa sahaja. Kerana dengan mempunyai ramai kenalan, hidup menjadi lebih bermakna.Harapannya satu, dia tidak lagi mahu manusia jadi penghukum dengan menghukum manusia lain sewenangnya. Tidak mahu ada lagi diskriminasi kerana bukan mereka minta jadi begitu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana penyakit itu sampai ke dalam tubuhnya. Seperti katanya, "Kalau ada ular masuk ke rumah, kita tak punya waktu untuk memikirkan dari mana ular itu datang. Yang penting adalah bagaimana supaya ular itu pergi dan tidak menggigit".

Dia juga sempat menubuhkan Yayasan Spiritia dan Positive Fund, sebuah yayasan dan tabung yang menjadi tunggak perjuangan warga HIV/AIDS untuk menentang diskriminasi serta menghargai hidup...

Kepetahannya berhujah walau dengan berkerusi roda dalam tubuh yang serba lemah membuatkan dia begitu dikagumi. Ucapan pembukaannya di Konferensi AIDS Antarabangsa Pasifik di Melbourne pada 2001 mendapat standing ovation serta dimuatkan di dalam akhbar berpengaruh Amerika Syarikat, New York Times...

Namun, bagi aku, semua itu tidak harus dilihat sebagai kejayaannya. Kerana kejayaannya paling besar adalah mengubah persepsi manusia (termasuk aku) untuk lebih menghargai dan menikmati kehidupan yang dianugerahkan Allah ini. Jangan pernah menyesali apa yang berlaku.
Sulasi, 31 tahun, adalah contoh terbaik. Disahkan HIV, dia dihalau dari kampung suaminya. Membawa diri, dia berasa diri cukup tidak berguna. Betapa ramai penghidap HIV yang mahu bunuh diri. Saat dia mengandung sembilan bulan, di hospital, tiada doktor yang mahu merawatnya. Hingga dia kata, dia diberi makanan seperti makanan anjing.. Namun, kehadiran insan seperti Suzana ini menguatkan mereka... Bahawa Allah masih sayangkan mereka.... Dan mereka terus menikmati kehidupan dengan bahagia..

Suzana juga sempat mengambil anak angkat, Sidharta Ariel Shah pada tahun 2000. Baginya, Ariel menjadikan dia lebih kuat. "Saat dia (Ariel) tidur, kerapkali saya menatapnya dan berbicara padanya, maafkan saya telah membawamu ke situasi seperti ini... Saya takut meninggalkannya lebih cepat.."

Keadaan ini juga menjadi saksi dan bukti cinta keluarga Suzana. Kedua ibu bapanya tidak pernah beralih dari mendukung perjuangan Suzana. Mereka tinggal di rumah yang sama, menggunakan gelas dan pinggan yang sama, bilik air dan sabun mandi yang sama... segalanya bersama... Seperti kata ayahnya "Bukan hanya kami yang menguatkan Suzana. Tetapi Suzana juga menguatkan kami".

Suzana begitu kuat! Kuat!! Hingga dalam keadaan terlantar di katil rawatan, Suzana masih sempat berikan ucapan dan kata-kata semangat pada pesakit-pesakit AIDS dan masyarakat melalui telefon dan SMS untuk terus kuat dan menikmati kehidupan mereka.

Itulah betapa besarnya jasa yang ditinggalkan oleh Suzana. (Banyak lagi cerita tentang Suzana ingin aku cerita. Tapi kalau nak cerita, mungkin aku kena tulis satu buku tentang dia kot...)

Secara peribadi, nama Suzana Murni jugalah yang mencetuskan semangat aku untuk menulis skrip pertama aku `Pelangi` kira-kira empat tahun lepas yang ceritanya diadaptasi dari semangatnya. Dan selepas itu, sehingga kini, penulisan skrip menjadi cinta aku...

Nama Suzana Murni jugak pernah aku abadikan dalam video pendek pertama arahan aku, `Selimut Fasihah`. (yang sekarang aku dah buang sebab aku rasa video tu teruk sangat. Hahaha) Dan perwatakan Suzana seringkali aku pinjam untuk diresapkan ke dalam tubuh watak-watak ciptaan aku...

Semoga semangat Suzana akan terus hidup dan diteruskan oleh keluarga, teman-temannya dan kita semuanya.

Seperti kata perenggan terakhir dalam artikel tersebut "Perjalanan Suzana dalam tujuh tahun terakhir telah membukakan mata bahawa penderitaan orang-orang yang hidup dengan HIV dan para pesakit AIDS adalah guru dalam cinta, pengertian dan simpati yang mendalam".

Semoga roh Suzana Murni akan ditempatkan di kalangan orang beriman.... Amin....


"Dengan mencintai, sakit bisa diubati" - Suzana Murni


NOTA KAKI : Berbanding tokoh besar Indonesia seperti Chairil Anwar mahupun Soe Hok Gie, aku lebih tertarik kepada perjuangan nama kecil yang bawa pengertian besar seperti Suzana Murni...

No comments: