Sunday, January 6, 2008

CINTA & KASIH SAYANG

Beberapa bulan lalu, sewaktu lepak di kolej, bersama rakan-rakan yang meneruskan pengajian, sahabat aku menyoal, benarkah perasaan cinta dan kasih sayang itu wujud? Tiada bukti secara fakta sahih mahupun data tepat di atas kertas tentang kewujudannya. Apatah lagi kewujudannya bersifat maya dan tidak fizikal, tidak dapat dilihat dengan mata. "Mana cinta kau? Jika benar ia wujud, letakkan dia di depan mata aku sekarang. Aku nak lihat dan aku nak pegang dengan tangan aku. Hahahaha!"

Atau terma perkaataan C>I>N>T>A ini dicipta Jabatan Lingusitik DBP hanya bagi menjadi akronim kepada perkatan `benci` serta bagi memenuhi konsep Yin Yang yang menjadi pegangan masyarakat Budha sejak ratusan tahun lepas.

Adakah perasaan cinta & kasih sayang hanya satu propaganda sejenis makhluk Tuhan yang dicampak ke bumi untuk menunjukkan dalam diri dan kehidupan mereka penuh dengan elemen-elemen ketelusan dan keluhuran? Atau benarkah cinta itu hanya satu nilai perasaan yang digembar-gemburkan untuk menjadi spekulasi dan strategi politik dunia untuk menunjukkan golongan manusia sebagai hero keamanan berbanding makhluk-makhluk Tuhan yang lain?

Atau mungkin, rasa atau naluri yang dinamakan cinta dan kasih sayang ini hanya dikatakan kononnya wujud oleh para ahli falsafah bagi menyokong usaha sekolompok para tokoh bahasa mencipta terma perkataan tersebut untuk menunjukkan penyelidikan linguistik mereka yang begitu hebat! Jika benar, aku rasa, hasil kerja mereka yang hanya dengan mencantum huruf L, O, V dan E menjadi satu hasil kerja eksperimen pemantapan bahasa paling berjaya dalam sejarah peradaban manusia. Dan pastinya juga ia menjadi kempen propaganda paling berkesan dengan menggerakkan jentera penggerak dari segala bidang, orang politik, falsafah, penggiat seni, orang pentadbiran hingga ke manusia kelas bawahan. Kempen paling berjaya dalam sejarah dunia. Mungkin pihak kementerian harus mencuri pendekatan kempen ini dari hanya terus membazir jutaan ringgit utk kempen berhenti merokok, jaga kebersihan, pandu cermat dan lain-lain yang kurang efektif. =)

Jika benar apa yang dipersoalkan di atas, benarkah pernah wujud satu perasaan atau nilai dalam diri manusia yang dipanggil cinta atau kasih sayang???
Aku terdiam sejenak… Berfikir….

Entahlah, aku tak jumpa jawapannya. Yang aku tahu, perasaan cinta & kasih sayang yang kononya wujud itu boleh buat aku jadi menjadi manusia terbodoh dan terhina. Ia juga boleh buat aku jadi manusia terbijak dan paling bahagia.

Yang pasti, kasih sayang itu indah dan Allah mencintai keindahan... dan aku akan terus meraikan cinta! Dari manusia untuk manusia. Untuk kita semua. Ini masa kita buktikan bahawa propaganda boleh kita tukar kepada ketelusan dengan hanya satu senjata: SALING MENYAYANGI DAN DISAYANGI...


Salam,
Semut kecil di dunia maha luas

No comments: