Sunday, January 6, 2008

ALYA, FASIHAH, SALINA, KARTIKA

Empat nama ini merupakan nama-nama yang memberi makna besar dalam hidup aku. (Memang dasar lelaki suka cukupkan kuota empat orang. Hehehe). Nama-nama ini tidak putus-putus memberikan semangat dan idea kepada aku. Tapi jangan silap. Mereka bukan awek aku, bukan kawan aku, bukan juga keluarga aku mahupun saudara mara terdekat.

Sebenarnya nama-nama ini adalah insan-insan yang pernah muncul dalam kebanyakan hasil penulisan aku (Meski hanya disimpan dalam kotak berhabuk kat belakang pintu bilik rumah aku dan beberapa daripadanya mula mendapat perhatian kini dari beberapa penerbit). Biar aku gunakan kata ganti diri `mereka` untuk empat nama ini kerana mereka ini, meskipun tidak wujud secara fizikal tetapi sudah aku anggap seperti sahabat sendiri. Mereka mempunyai sifat dan character tersendiri hingga kadangkala mereka lebih memahami aku dari diri aku sendiri. Bila mereka merajuk, aku kena pujuk. Bila mereka gembira, aku tersenyum. Bila mereka letih, aku suruh berehat. Bila mereka menangis, aku menangis sama…. Begitu juga sebaliknya. Bila aku kecewa, mereka berikan semangat. Bila aku bosan, mereka hiburkan aku….

Gelagat dan ragam mereka inilah yang sering memberikan rasa kepada aku untuk menyalinkan kehidupan mereka ke atas kertas.

Meskipun kreativiti itu lahir secara alamiah dan di bawah sedar, tetapi cara aku mentafsir setiap butir idea yang lahir dari pengalaman aku bersama mereka itu adalah secara sistematik dan terancang agar ia dapat disusun menjadi satu produk atau karya. Idea yang hanya mengalir deras tanpa kawalan ilmu pengetahuan dan naluri perasaan manusia, walau sebaik manapun idea itu, hanya bakal menjadi idea kosong semata-mata.

Kadangkala aku hanya memasukkan character empat wanita ini seadanya di dalam cerita. Kadangkala character yang sama tapi nama yang lain. Dan kadangkala character mereka diubahsuai mengikut kesesuaian cerita.

Menyingkap sejarah empat orang wanita penting ini, Salina muncul dalam hidup aku ketika aku di sekolah rendah ketika aku mula mendekatkan diri dengan hasil produk kreatif (aku tak mahu sebut sebagai `karya seni` sebab aku rasa diksi tu terlalu poyo untuk aku yang baru merangkak). Bagi aku, Salina gadis yang kuat! Dia tidak mudah kalah dengan desakan hidup yang pekat. Tak aku nafikan, Salina yang berumur antara 24 hingga 35 tahun ini wujud dari minat aku terhadap laranya hidup watak Salina ciptaan SN Datuk A Samad Said meskipun aku tak pernah habis membaca novel itu. Aku rasa, Salina yang kuat ini sesuai dengan mana-mana lelaki kerana sama ada teruk atau bagusnya lelaki itu, dia dapat tangani dengan ketabahan untuk membawa kebahagian kepada mereka.

Alya lahir tak berapa lama kemudian serentak dengan kelahiran sepupu aku yang diberi nama Alia Adilla (Alia Adilla meninggal dunia pada awal tahun lalu ketika berusia 10 tahun kerana kemalangan jalan raya ketika hendak ke sekolah agama bersama adiknya, Haidah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Al-Fatihah).

Dari Alia Adilla menjadi Alia Maizura dan kemudian Alya. Kini menjadi Alya Fasihah. Alya seorang gadis yang feminin. Ala-ala perempuan Melayu terakhir. Dia berumur sekitar 18 hingga 28 tahun.

Alya merupakan gadis hari ini. Gadis yang lahir dalam kehidupan moden dan di tengah kesibukan manusia bandar. Banyak dugaan mencabar dia. Kadangkala dia terikut juga kata hati jiwa mudanya. Dia bukan jahat! Dia sekadar gadis yang menikmati zaman mudanya. Dia…. (sorry, tak dapat cari diksi yang sesuai tapi you get what I mean right?)Tapi, apapun, Alya seorang yang cukup jujur pada dirinya. Kejujuran itu membuatkan dia kuat untuk dia mencari sesuatu atau seseorang yang mampu mengubah gaya hidupnya menjadi lebih baik dan lebih sempurna. Itulah kekuatan Alya yang aku kagum. Alya perlu mencari seseorang lelaki yang lebih matang daripada dia, yang mampu mengawal serta membentuk dirinya. Dia punyai semua sifat kewanitaan yang menjadi idaman lelaki tetapi terlindung oleh cara hidupnya yang agak ligat. Mungkin dengan `lelaki` yang tepat, mampu membentuk dirinya menjadi perfect girl atau perfect woman. InsyaAllah….

Kartika pula lahir sebagai `bintang`. Kartika seorang yang bijak, terpelajar, berpendirian, independent, tegas walaupun sesekali cukup manja. Aku tiada masalah besar dengan Kartika kerana dia pun tiada masalah besar (Cuma masalah wanita dan masalah hidup yang normal). Tapi, untuk menjadi sebuah jalan cerita yang digerakkan oleh konflik dan masalah, aku sering pening untuk mencipta masalah untuk Kartika kerana dia perlukan masalah yang bijak. Orang yang bijak perlukan masalah yang bijak.Dia memiliki sifat wanita yang layak diangkat sebagai idola wanita. Dan mungkin suatu hari nanti, dia mampu jadi tokoh korporat yang berjaya dengan sifatnya itu. Dia sesuai dipadankan dengan lelaki yang berjaya kerana sifatnya yang menerangi sesiapa di sisinya. Baru la sepadan….

Jika ada yang bertanya, kenapa nama perempuan saja? Mana lelaki? Jawapannya mudah, aku sebagai lelaki, nama wanita selalunya lebih memberikan idea kecuali bagi cerita-cerita tertentu yang menampilkan character lelaki sebagai penggerak cerita. (saudara Dhojee pernah perli aku mat jiwang. Betul la tu bro, kalu ada job skrip filem jiwang, hulur la kat sini. Nak sambung buat filem `Cinta 2` ke. Hehehe). Ada nama lelaki sebenarnya, bukan tak ada. Tapi nama lelaki ni sering berubah dan berganti. (Antara Qabil, Habib, Jebat, Kamarul, Azman dan Azhar). (Aku sebenarnya teringin nak pakai nama aku sendiri tapi macam poyo sangat la pulak, hahaha)
Selain itu, terdapat juga nama-nama wanita lain yang kadangkala digunakan dalam keadaan tertentu seperti Adibah, Mawar Diana, Shafika dan beberapa lagi.

Apapun, kepada Alya, Fasihah, Kartika, Salina, dan nama-nama yang lain, anda semua adalah nadi dalam mencetus segala rasa yang membenihkan idea. Idea inilah yang terus menggerakkan aku untuk hidup dan bernafas dengan cinta…..

1 comment:

Anonymous said...

"fasihah" tapi nama saya fasehah alya, but i feel happy to read this in 2022. thank you and may Allah bless you <3