Sunday, January 6, 2008

FILEM & JIWA

Sejarah hidup aku dan filem bermula dengan filem XX-Ray. Meskipun menontonnya melalui pita VHS yang disewa dengan harga RM1 untuk 3 hari pada tahun 1992 (dari Pusat Video Batman), melalui filem ini, aku mula mengenal wujudnya satu medium cerita yang ditayangkan di sebidang layar besar yang dipanggil panggung wayang (sebelum itu aku hanya mengetahui drama TV). Ketika itu, usia aku baru tujuh tahun. Sejak itu, aku mula jatuh cinta pada filem....

Bermula dari hari itu, bermulalah perjalanan hidup aku bersama filem... Sudah jadi rutin di bangku sekolah rendah, aku tidak makan pada waktu rehat. Semua itu hanya demi satu sasaran, duit belanja itu dapat aku kumpul untuk membeli tape VHS cerita-cerita yang aku suka (hingga aku beberapa kali dimasukkan ke klinik sebab gastrik). Arwah Atok aku kena berulang ke pekan Kuala Kangsar setiap minggu untuk fotostat poster filem terbaru yang aku gunting dari akhbar untuk disusun rapi dalam fail yang kemudiannya aku simpan dalam peti suara lama yang berkunci (aku pun tak tau mana pegi fail bersama peti tu sekarang).

Mungkin hobi aku pelik berbanding kawan-kawan aku ketika itu kerana kami hidup dalam komuniti kanak-kanak kampung yang lebih banyak menghabiskan masa di padang bola. Bukan sekali dua aku dijerit oleh Opah aku (salah seorang tunggak hidup aku). Katanya "kamu ambik la tape (VHS) tu buat lauk makan malam kamu", "tak payah la beli baju sekolah, salutkan aje tape (VHS) tu kat badan kamu" dan banyak lagi sindirin sinis yang keluar dari mulut dia (sindirin dari golongan ini cukup indah kias bahasanya kerana sifat mereka yang cukup kuat pegangan dan amalan cara hidup Melayu).

Kehadiran VCD menjadikan kegilaan aku bertambah hebat. Sememangnya VHS dan VCD saja yang menjadi tontonan aku semenjak panggung wayang Capitol dan Rex di pekan aku bertukar jadi kedai kain dan parking kereta ketika aku di darjah empat kalau tak silap. (teringat kenangan menonton filem Sembilu 2 dengan tikus main kejar-kejar kat bawah kaki aku dalam panggung tu)

Di sekolah, aku cukup berahsia tentang minat dan cita-cita aku dalam bidang ini kerana di sebuah sekolah pinggir bandar (kampung la tu... ), soal kesenian cukup taboo untuk dibahaskan. Maksiat!!!

Dari seorang budak kampung yang skema, aku akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang filem. (walaupun pada awal ditentang emak bapak aku, alhamdulillah, akhirnya mereka faham apa filem bagi aku). Waktu mula2 masuk belajar dulu, aku selalu ingat akulah yang paling hebat!! Perasan gila mamat seorang ni! Hahahaha. Tapi, semakin hari, seiring perubahan tahap pemikirin serta mentaliti, aku semakin sedar diri! Hahaha..

Aku mungkin tergolong dalam kategori penonton `kanak-kanak` kerana aku cukup mudah terpengaruh dengan filem. Ramai bijak pandai dan orang politik (walau aku sendiri sering berpolitik untuk hidup) selalu melaungkan di dada media, `kita jangan jadi masyarakat yang senang terpengaruh!'. Tapi bagi aku, pengaruh filem menjadi aku seperti sekarang. Bukanlah aku orang hebat sangat tapi aku hargai hidup aku sekarang.

Ketika sedang aku asyik bermimpi, kawan aku, G-Jan (yang selalu emo semenjak akhir2 ni. Sabar Jan, jangan pernah kalah pada keadaan!) baru-baru ini kejutkan aku tentang satu kenyataan hidup. Dia kata " jangan la kau berangan-angan hidup kau indah macam dalam filem". Dan ternyata dia benar. Hidup tak pernah seindah kisah di layar (kadangkala tu ada la, secara kebetulan).

Opss... G-Jan, jangan senyum lebih2 dulu. Jangan pikir aku terima kenyataan tu secara total. Memang hidup aku tak pernah seindah filem, tapi filem adalah kekuatan aku untuk menghadapi hidup aku yang tak indah tu. Ya, aku percaya filem telah menjadikan hidup aku indah...

Bagi aku secara peribadi, sejak aku mengenali XX-Ray, filem adalah penawar bagi aku. Filem memberikan aku kekuatan di saat aku hampir kalah pada desakan hidup. Filem beri aku hiburan di waktu aku bosan. Dia jadi penyedar di saat aku mula alpa dengan rahmat Allah.

Meskipun filem adalah medium seni berasaskan bahasa visual, namun dialog-dialog filem tetap memberi makna besar kepada aku. Setiap butir dialog yang diucap dalam sesetengah filem akan aku ingat dan menjadi pendinding serta tangkal azimat bagi aku.

Di saat aku termenung panjang kecewa tak dapat Anugerah Dekan buat kali ketiga masa aku belajar dulu, Alya (Ada Apa Dengan Cinta) perlahan datang duduk sebelah aku dan menunjukkan lebam dan luka di belakang badannya. Dapat aku dengar suara dari dalam hati dia berkata "Hidup kau tak seteruk hidup aku...". Di waktu aku kecewa frust gila b**i putus cinta, Haris (Cinta) perlahan-lahan bisik kat telinga kanan aku "Love is letting go..". Waktu tangan aku menggeletar macam sakit parkinson sebab takut nak buat presentation depan klien aku, Daniel (Soal Hati) tiba-tiba berlari ke arah aku dan menjerit pada aku dengan sekuat hati "Tanpa keberanian, mimpi tidak akan bermakna!!!". Waktu aku tersengih segan2 nak tegur awek cun kat meja sebelah, dengan wajah selamba Tun (KL Menjerit) kat sebelah aku tepuk bahu aku "kita tak mengenali sesiapa pada mulanya, jika kita tak memulakannya...". Ketika aku pening fikirkan masa depan, tiba-tiba Nordin (Buli) keluar dari sebalik pintu sambil menyanyikan lagu yang cukup memahami jiwa aku ketika itu "Di malam ini, aku ingin bersendiri, bertemankan sepi...." Waktu aku berangan duit yang aku labur dalam bisnes tiba-tiba jadikan aku jutawan, dalam senyum yang cukup jujur, Faradina (Andai Ia Tahu) memandang tepat ke dalam mata aku dan berkata "jangan terbang tinggi sangat, kalau jatuh nanti, sakit sangat...".

Sesedih-sedih hidup aku, hidup aku taklah sesedih hidup Norbit (Mr & Mrs Norbit). Aku tak la blur macam Harry Dunne (Dumb & Dumber). Sesukar mana hidup aku, tak lah sesukar hidup Rocket (City Of God). Aku cemburu dengan kekayaan Richie (Richie Rich). Aku kagum dengan jati diri Kakang (Kaki Bakar), kecewa dengan Eliana (Eliana Eliana), kesian dengan Bujang (Kembara Seniman Jalanan), simpati pada Daya (Pasir Berbisik), gembira dengan telatah Sherina (Petualangan Sherina), keliru dengan Nino (Arisan) dan banyak lagi. Ini semua buat aku tambah positif bahawa hidup aku taklah seteruk mana. Dan ia menjadikan aku lebih bersemangat untuk berusaha.

Dan, seperti sebuah sajak pernah aku dengar, aku percaya Superman itu wujud! Ya, Superman itu wujud! Namun dia bukanlah Christopher Reeve atau Brandon Routh. Tapi Superman itu adalah kita! Setiap manusia dilahirkan hebat (macam Superman). Percayalah! Kejujuran dan ketelusan Clark yang tidak lupa diri apabila diberikan kuasa membuatkan aku yakin bahawa masih wujud kebaikan di bumi ini. Dan kebaikan itu yang perlu kita cari dan semaikan dalam diri kita. Barulah kebaikan itu menjadi sebahagian daripada kita.

Patch Adam & Robin William beri aku satu perspektif atau mungkin ideologi hidup yang aku pegang sampai hari ini (dan mungkin sampai bila2). `Hidup ini indah. Satu anugerah terindah daripada Allah kepada kita semua`. Itu yang Adam ajar aku. (kerana itu hingga hari ini aku tak malu digelar mat sengih kerana dengan sengih @ senyum itu, hidup akan menjadi lebih bermakna dan positif). Lebih baik sengih dari masam mencuka kan? Hehehe... Adam cakap lagi kat aku `hidup bukanlah soal bagaimana mahu melambatkan kematian kerana ajal itu sudah ditentukan tetapi hidup adalah bagaimana kita mempergunakan kehidupan sehingga kematian yang telah ditentukan itu tiba!`

Aria Kesumadewa dalam filem Beth ajar aku bahawa orang normal sebenarnya lebih gila daripada orang gila. Orang normal tidak dapat lari dari fikir macam mana nak dapat duit, nak naik pangkat, nak beli rumah baru, nak beli handphone baru (macam aku yang cadang nak beli communicator)... Tapi orang gila hanya tahu fikir dan melakukan perkara yang membahagiakan dirinya. Apa yang dia suka.... Bukan kebendaan tapi kebahagian dan ketenangan...

Oliver Stone dalam Heaven & Earth pernah mengatakan `rahmat penderitaan itu terletak pada peranannya mendekatkan kita dengan Tuhan!`. Dan itulah yang sedang berlaku pada aku sekarang... Bukan aku baik, tapi aku percaya aku ada keinginan untuk jadi baik.

Begitulah aku mengolah persepsi diri tentang filem dari hanya sebuah gabungan visual dan bunyi di sebidang layar menjadi terapi diri paling berharga dalam kehidupan manusia. Terapi diri yang menjadi aku manusia paling bahagia dan positif dengan hidup aku.. Dan paling penting, filem mengajar aku bahawa Allah itu Maha Penyayang...


"Filem hanya berguna dalam mengajar manusia tentang diri dan kehidupannya. Jika ada perkara lain yang boleh mengajar manusia tentang dua perkara tersebut, kita tidak perlukan lagi filem" –Tsai Ming Liang


Begitulah serba sedikit kisah hidup aku dan filem....

Cinta aku kepada filem membuat aku menjadi aku sekarang. Tanpa kekuatan yang dilontar oleh visual dan dialog filem pada aku, mungkin aku sudah lama kecewa dengan hidup aku kerana hidup aku sememangnya cukup bosan, blur dan menyedihkan (seperti yang seringkali kawan aku jerit pada aku!)

1 comment:

Unknown said...

aku rasa mcm tgh baca blog lecturer mane ntah... hahahaha...
ko ni bile bersuara dah mcm adman salleh kdg2..

filem mengajar manusia cara hidup
filem mendewasakan manusia
filem mematangkan fikiran manusia
filem jugalah menjahanamkan manusia (kadang2...)